Disertasi
Implementasi Pengajaran Nilai Moral Dalam Pendidikan Agama Islam Di Sekolah Menengah Pertama Propinsi Jawa Tengah Indonesia
Pendidikan Agama Islam dalam konteks pendidikan nasional di Indonesia merupakan mata pelajaran yang wajib diikuti oleh semua pelajar Muslim di peringkat sekolah tersebut, yang memberi penekanan kepada pembentukan moral pelajar yang baik dalam kehidupan seharian. Aspek utama yang diterka dalam kajian ini adalah tentang proses pengajaran pemikiran nilai moral, perasaan nilai moral dan perlakuan nilai moral pelajar. Secara terperinci objektif kajian ini adalah pertama, untuk mengkaji proses penglibatan pelajar dalam pengajaran. Kedua, menerka proses pengajaran mengenai isu-isu nilai moral yang berlaku dalam masyarakat. Ketiga, mendedahkan proses pengajaran refleksi nilai moral. Keempat, mengkaji proses pengajaran empati. Kelima, menerka proses pengajaran kawalan diri pelajar. Keenam, mendedahkan nilai-nilai moral yang ditekankan oleh guru Pendidikan Agama Islam kepada pelajar dalam proses pengajaran perlakuan. Kaedah berbilang kes secara kualitatif digunakan dalam kajian ini bagi menerka implementasi proses pengajaran moral dalam Pendidikan Agama Islam, yang berlaku secara hakikat dan sebenar. Seramai lima orang guru dari tiga buah Sekolah Menengah Pertama Bandar Pekalongan telah dipilih secara persampelan bertujuan (purposive sampling) sebagai peserta kajian. Bagi mencapai objektif kajian, pengutipan data telah dilakukan melalui temubual, penganalisisan dokumen dan pemerhatian proses pengajaran dan pembelajaran moral dalam bilik darjah yang berlangsung selama 5 bulan (Januari-Mei 2009). Ketiga-ketiga kaedah pengutipan data ini dijalankan bertujuan untuk menerka proses pengajaran nilai moral dalam Pendidikan Agama Islam berlaku secara sebenar dalam realiti. Selain itu, secara khas, temubual dijalankan bertujuan untuk mendedahkan latar belakang peserta kajian. Hasil utama kajian ini menunjukkan implementasi proses pengajaran moral dalam Pendidikan Agama Islam di sekolah adalah kurang selaras dengan proses model pendidikan moral yang dicadangkan oleh Lickona (1980), iaitu Membina Komuniti Sosial, Pembelajaran Koperatif, Perbincangan Moral Sosial dan turut serta membuat keputusan. Peserta kajian didapati telah memberi penekanan kepada kaedah penerangan dan syarahan dalam proses pengajaran moral. Walaupun peserta kajian telah menjalankan kaedah perbincangan kumpulan, namun demikian belum dapat menjalankan kaedah tersebut secara efektif, iaitu peserta kajian telah menjalankan kaedah perbincangan dengan menggunakan saiz besar iaitu seramai lapan hingga sembilan orang dalam perbincangan kumpulan. Selain itu, sebahagian peserta kajian membezakan latar belakang jantina pelajar dalam membuat perbincangan kumpulan pelajar. Bahkan peserta kajian belum dapat menjalankan proses pengajaran mengenai isu-isu nilai moral yang berlaku dalam masyarakat dan proses pengajaran refleksi nilai-nilai moral, pengajaran empati dan kawalan diri pelajar secara maksimum. Secara khas, nilai-nilai moral yang ditekankan oleh guru kepada pelajar tidak memberi penekanan kepada nilai moral tanggungjawab pelajar dalam proses pengajaran perlakuan moral secara eksplisit. Implikasinya, pembinaan pemikiran nilai moral, perasaan nilai moral dan perlakuan nilai moral tidak dapat direalisasikan secara maksimum dan bersepadu dalam proses pengajaran moral dalam Pendidikan Agama Islam di sekolah. Oleh itu, amat perlu diwujudkan proses pengajaran dan pembelajaran nilai moral, perasaan nilai moral dan perlakuan nilai moral pelajar dalam proses pengajaran nilai moral dalam Pendidikan Agama Islam di sekolah.
15DS153001.00 | DS 153001 MUS i | My Library (Lantai 3, Disertasi) | Tersedia |
Tidak tersedia versi lain